Thursday, November 19, 2009

Dr Asri, Harakah Tajdidnya - Satu Natijah

Oleh Abu Danish

Saya terpanggil untuk menulis barang sebaris dua berkenaan isu yang sedang hangat diperbicangkan sekarang ini iaitu berkenaan penangkapan dan kemudian tuduhan ke atas Dr Asri Zainul Abidin di mahkamah syariah Gombak semalam. Apabila beliau ditangkap baru-baru ini, maka bergemalah serta bekumandanglah suara-suara dari segenap penjuru dan daripada individu mahupun kumpulan yang tertentu. Ada yang menyerang, ada yang mempertahan. Ada juga yang berkecuali tapi turut sibuk mengupas. Isu wahabi - ahlus sunnah waljamaah, isu kamu muda-kaum tua turut dihidupkan kembali. Pelbagai penulisan dan ulasan sama ada di media-media arus perdana mahupun media maya dan blog-blog turut mengupas isu ini.

Kalaulah saya berpeluang berbicara dengan Dr MAZA, ada beberapa perkara yang saya akan sebut dan kemukakan kepada beliau. Yang pertama, saya akan meminta beliau bersabar, kerana apa yang berlaku adalah daripada Allah SWT. Mungkin ianya satu ujian dalam perjuangan ataupun satu pengajaran. Kita tidak tahu, tetapi itu adalah bagi beliau untuk berfikir. Saya akan meminta beliau redha dengan apa yang berlaku dan bermuhasabah diri. Memang darah panas akan menggelegak untuk kembali menyerang. Maka berlakulah apa yang berlaku, serangan bertubi-tubi di dalam media dan ceramah beliau yang menyusul.

Saya merasakan apa yang dilakukan beliau agak kurang mencermin hemah dan budaya orang yang alim serta warak. Bukan kah lebih mulia nampaknya sekiranya beliau bersabar dan bertenang serta menasihatkan pengikut-pengikut beliau untuk turut bersabar, berdoa dan memohon perlindungan dan pertolongan Allah SWT? Alangkah mulianya hati seorang mujaddid sekiranya beliau berkata, "saya redha dengan apa yang berlaku dan saya tunduk kepada qada' dan qadarNya. Inilah natijah perjuangan saya. Biarlah mahkamah yang menentukan dan sesungguhnya apa yang datang adalah daripada Allah SWT kepada hambaNya, ada hikmahnya". Masya-allah, mulianya hati beliau kalau begitulah yang berlaku dan sudah tentu ramai yang lain turut bersimpati walau pun sebelum ini mereka mungkin tidak bersetuju dengan pendekatan beliau. Saya tidak menyangkal mungkin itu yang sebenarnya berlaku disebalik tabir tetapi mesejnya tidak sampai. Yang nampak dengan jelas ialah seolah-olah peperangan sudah bermula.

Satu lagi perkara yang saya akan sebut kepada beliau ialah untuk lebih tawaddu' dan beradab dalam menjalankan misi dakwah beliau. Bahtera perubahan yang dikayuh beliau seringkali tidak sehaluan dengan arus perdana. Tidak salah menungkah arus yang kadang-kadang perlu juga kita lakukan. Tetapi menungkahlah arus dengan bijaksana. Maksud saya, kalau ingin menegur para ulamak dan ilmuan Islam yang tidak sehaluan dengan kita, berhemahlah. Hormatilah mereka walaupun mereka itu lebih tua, tidak moden, tidak bertalir leher dan bersongkok seperti tuan. Jangan dihina serban dan jubah mereka. Jangan disyirikkan dan dibidaahkan amalam mereka sekian lama kerana mereka juga ada dalilnya. Pesan orang-orang tua, kerana santan pulut binasa.

Dalam berdakwah, ambillah contoh teladan daripada semulia-mulia makhluk Allah SWT, iaitu Nabi Muahmmad SAW. Baginda tidak menggunakan pendekatan mencerca, menghina dan mengutuk keras golongan yang menolak Islam di awal seruan dakwahnya. Malah disebabkan sifat baginda yang mulia, beradap sopan dengan semua orang, ramai daripada kaum Quraisy yang tertarik dengan Islam. Imam Shafie, apabila mengimamkan maklum yang bermazhab berbeza tidak berqunut kerana menghormati merek. Begitu tinggi dan mulianya sifat seorang sarjana Islam. Saya masih tercari-cari di mana budi perkerti, adab sopan seperti itu di dalam diri Dr MAZA. Mungkin kerana menolak ilmu tasauf agaknya, akhlak agak tidak lulus cemerlang di sini. Mudah-mudahan selepas ini Allah Taala memperlihatkan kepada kita ciri-ciri tersebut kepada kita semua.

Perkara terakhir yang saya ingin sebut ialah berkenaan perlunya Dr MAZA sedar bahawa inilah natijah sebuah perjuangan. Sekarang DR MAZA sudah merasa paku buah keras yang sebenar. Kalau dulu agenda-agenda tajdid beliau berkumandang di serata pelusuk tanah air melalui pelbagai media, melalui lisan dan tulisan, nah sekarang rasakanlah apa yang pernah dirasai oleh pejuang-pejuang agama Allah Taala, dulu, kini dan selamanya. Bukan saya ingin mengatakan "padan muka" atas apa yang berlaku tetapi agar beliau insaf bahawa amat mudah untuk berkata-kata tetapi amat susah untuk melaksanakan. Perjuangan menuntut pengorbanan, kesabaran, kebijaksanaan dan hemah. Janganlah mudah memperlekehkan perjuangan serta para ulama' terdalulu. Mungkin pada pandangan Dr MAZA mereka kolot, ketinggalan zaman, tidak progressif atau tidak selari dengan apa-apa terma tajdid yang muktakhir ini. Tetapi merekalah, dan keturunan serta guru-guru merekalah yang berhempas pulas membanting keringat, bergolok bergadai, bertarung nyawa mempertahankan aqidah umat Islam di nagara ini. Selama lebih 500 tahun umat melayu dijajah bangsa asing tetapi aqidah mereka utuh sehingga ke hari ini. Sekurang-kurangnya ucaplah syukur danlahirkan sedikit rasa hormat dalam diri.

Akhir kata, kepada DR MAZA dan pengikut-pengikutnya, bersabarlah di atas dugaan Allah Taala ini yang semestinya mempunyai hikmah. Juga saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan termasuk DR MAZA dan pengikut-pengikutnya, marilah kita muhasabah diri kerana mungkin ada kesilapan kita yang lalu. Mungkin tajdid yang dilaungkan adalah tajdid yang tidak tepat atau salah, kita tidak tahu. Ambillah pengajaran dari apa yang berlaku. Berubahlah kepada yang lebih baik. Bimbinglah umah dengan lebih berhemah.

Wallahua'lam bissawab.

Amar Makruf, Nahi Mungkar

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Dia yang maha Hidup, Kekal dan Pengatur segenap makhluk. Selawat serta salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda yang diredhai oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran, "Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, menyeru kepada makruf (hal-hal yang diperintahkan Allah SWT) dan mencegah dari mungkar (hal-hal yang dilarang Allah) "- Ali 'Imran: 110.

Rasulullah SAW bersabda, " Barangsiapa di antara kamu mengetahui sesuatu perkara mungkar, hendaklah ia merubah dengan tangannya, jika ia tidak mampu, hendaklah ia merubahnya dengan lisannya, jika tidak mampu, hendaklah ia mengingkari dengan hatinya. Dan hal itu (yang disebut terakhir) paling sedikit buah dan hasilnya; dan merupakan hal yang diwajibkan atas seseorang ketika ia tidak mampu mengingkari dengan tangan dan lidahnya". Hadith Riwayat Imam Muslim.

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan saudara agar berpeganglah dengan firman Allah dan sabda Nabi Muhammad SAW yang tersebut di atas (di samping kesemua ayat-ayat Allah dan sunah Rasulullah lain). Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin yang sejati untuk berbuat kebaikan dan menyeru kepada kebaikan selama mana nyawa masih di kandung badan.

Hidup kita ini tidak kekal, hanya Dia yang kekal. Dunia adalah jambatan dan di sana (negeri akhirat) adalah tempat yang dituju. Maka berbuatlah amal sebanyak-banyaknya dan serulah manusia kepada jalan iman dan Islam. Moga-moga Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita dan menerima amalan kita. Amin